SEKOLAH KEBANGSAAN NANGA SAMA, D/A: PPD KAPIT, TINGKAT 1 & 2, WISMA PERSEKUTUAN, 96800 KAPIT, SARAWAK MALAYSIA. (Email: sknangasama@yahoo.com)

Info

PETIKAN : UTUSAN BORNEO

KUCHING: Meskipun terdapat peningkatan dari segi jumlah kemasukan pelajar ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) di rantau Asia Pasifik, tetapi di Malaysia ia masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju.Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berkata demikian menambah, rantau berkenaan menyaksikan peningkatan daripada 22 juta orang pelajar pada 1999 kepada 44 juta pada 2006.

“Kerajaan Malaysia telah berusaha pelbagai cara dalam memastikan pengajian tinggi mampu diikuti oleh semua tanpa mengabaikan kualiti,” katanya dalam ucapan perasmian Pameran Pendidikan Kanada di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Naroden Majais.

Tengah berkata keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan cukup tempat disediakan bagi menampung kemasukan pelajar di peringkat pengajian tinggi.

“Berikutan globalisasi pendidikan, para pelajar kini memiliki lebih banyak pilihan untuk melanjutkan pengajian di seluruh dunia.

“Peluang ini bertambah apabila dasar pendidikan di sesebuah negara lebih bersifat terbuka dalam menerima kehadiran pelajar dari luar negara,” katanya.

Malaysia katanya, tidak terkecuali menerima kemasukan pelajar antarabangsa.

Penyediaan peluang yang terbuka kepada pelajar luar negara terbukti dengan kewujudan 20 universiti awam, 24 politeknik, 37 kolej komuniti, 41 universiti swasta atau kolej universiti dan 483 kolej swasta.

“Kita juga memiliki universiti dari luar negara yang membuka kampus di sini. Ini merangkumi dari United Kingdom dan Australia,” katanya.

Sementara itu pameran pendidikan berkenaan merupakan program anjuran Pesuruhjaya Tinggi Kanada yang membariskan 16 institusi pengajian tinggi.

Antaranya ialah University of British-Columbia, Capilano University, University of Alberta, University of Calgary, University of Lethbridge, University of Saskatchewan, University of Manitoba, University of Winnipeg, Trent University, University of New Brunswick dan Memorial University of Newfoundland.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Kanada David B. Collins. Share

0 comments:

Blogger templates made by AllBlogTools.com

Back to TOP